25 January 2010

Seminar Tamadun Islam

In The Name of Allah The Most Gracious The Most Merciful

Alhamdulillah 17hb lepas dah selesai jugak saya membentangkan kertas kerja sempena Seminar Ilmiah 2010: Mengenali Aspek Terpencil Dalam Ketamadunan Islam anjuran Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ) di Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Tajuk kertas kerja saya ialah Dasar Liberal Khalifah Abbasiyah Yang Membawa Kepada Kebanjiran Idea Liberalis-Rasionalis Muktazilah Di Dalam Keilmuan Islam. Masa mula-mula saya memilih tajuk ni, saya langsung tak tahu apa yang patut di kaji. Memandangkan saya sendiri sangat lemah dalam sejarah kerana saya tak minat untuk mengkaji sejarah tapi akhirnya dengan bimbingan Muallin Nuruddin dapat juga saya siapkan kertas kerja ni.

Saya masukkan sedikit isi dari kertas kerja untuk perkongsian semua memandangkan kertas kerja ni akan panjang untuk di letakkan semuanya kat sini. Semoga beroleh manfaat.

**************************
Dasar-dasar Khalifah Abbasiyah

Pendidikan dasar kini hampir terdapat di mana-mana di seluruh kawasan Islam. Para khalifah Abbasiyah merupakan pendukung kepada pelajaran asas iaitu membaca dan menulis. Bermula sejak zaman Harun al-Rasyid,mereka berpendapat bahawa setiap anak-anak Muslim harus mempunyai peluang untuk belajar asas-asas membaca,menulis, mengira, geografi, sejarah dan sebagainya. Oleh itu mereka mendirikan sekolah untuk pengajian asas di setiap masjid, atau tempat peribadatan. Guru-guru mengajar mereka yang kaya mahupun miskin secara adil. Semasa zaman Abbasiyah di mana-mana pun terdapat orang yang tahu membaca dan menulis.
Harun Ar-Rasyid  dianggap sebagai penaung bagi semua cabang ilmu pengetahuan. Semua institusi dibawahnya diberikan perhatian yang sewajarnya. Beliau sentiasa menggalakkan para sarjana dan sesiapa sahaja  yang mempunyai kebolehan untuk menjalankan penyelidikan dan memperluaskan ilmu pengetahuan. Beliau mengadakan forum-forum dan syarahan-syarahan yang dihadiri ramai orang di masjid. Ilmu agama juga berkembang dengan pesatnya. Mazhab hanafi ketika itu berkembang dan mendapat sambutan orang ramai dibawah pimpinan anak muridnya yang bernama Abu Yusof yang menjadi Kadi Besar Baghdad.
Untuk institusi pengetahuan beliau bukan sahaja mendirikan sekolah-sekolah dan kolej-kolej tetapi beliau juga mendirikan sebuah pusat kegiatan ilmu pengetahuan yang di kenali dengan nama Baitul Hikmah.Menurut Dr Ahmad Salabi bahawa Baitul Hikmah ini adalah merupakan menara kebudayaan dan kegiatan intelektual dunia pada masa itu yang mana telah dapat memancarkan cahaya untuk menerangi jalan kebangkitan Barat. Di samping itu kegiatan menterjemah karya asing yang di mulai oleh  al- Mansor (datuknya) terus dipergiatkan. Banyak buku Greek, Parsi, India yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Para pendukung ilmu-ilmu pengetahuan dan falsafah yang lain adalah dari kalangan keluarga yang kaya dan berpengaruh. Banu Musa, yang telah banyak memberi jaminan untuk memperoleh dan menterjemah karya-karya ilmiah dan falsafah, dan ibnu nadim telah memilih 3 orang tokoh daripada keluarga Barmaki yang terkemuka ini yang dapat dibanggakan bukan hanya kekayaannya tetapi juga kecemerlangan  keintelektualannya. Mereka berlumba untuk mendapatkan naskah-naskah Yunani dari Bizantium dan megupah sebahagian besar penerjemah dari setiap pelusuk negeri.
Seterusnya Harun al-Rasyid diganti oleh al-Maamun, Abdullah al-Maamun bin Harun al-Rasyid bin Muhammad al-Mahdi. Ibunya bernama Marajil iaitu gundek Harun al-Rasyid dari bangsa Parsi. Al-Maamun adalah sangat baik, berbudi mulia, cenderung kepada ilmu pengetahuan dan berjiwa reformasi. Ini dikatakan kerana ia terpengaruh dengan pemimpin-pemimpin Syiah yang menuntut hak khalifah sebagai hak keturunan Bani Abbasiyah yang asal iaitu untuk menegakkan keadilan, sebab kerajaan Umaiyah di masa itu dianggap sebagai suatu kerajaan yang zalim dan bertentangan dengan sikap dan amalan Khalifah al-Rasyidin.
Memang zaman Makmun ini adalah satu zaman di mana diletakkan asas hidup beragama, berfikir, dan berkebudayaan. Keistimewaan zaman ini ialah ia mewujudkan ilmu kalam, ilmu tasawuf, mencipta dasar-dasar ilmu falsafat Islam, mempelajari ilmu falak, ilmu aljibra, ilmu kimia dan ilmu-ilmu pengetahuan yang lain.
Ada dua sebab yang membuat zaman ini sangat majunya:
Kerjasama di antara bangsa-bangsa, kebebasan beragama dan toleransi antara semua tingkat masyarakat tidak kira kaya atau miskin, semuanya diikat dan disatukan oleh bahasa Arab sebagai alat untuk berfikir dan meluahkan perasaan.
Kebebasan yang luas yang diberikan oleh khalifah-khalifah ketika itu terutama khalifah makmun, bagi mereka untuk berfikir, berbicara dan menulis.
Ahmad Amin menggambarkan suasana waktu itu dalam kitabnya “Zuhal Islam” : “Dalam pergaulan yang sangat bebas terjadilah percampuran antara bangsa-bangsa dengan meluasnya, dan terjadilah perkembangan akal fikiran yang pesat. Setiap bangsa-bangsa  mempunyai cara berfikir  yang bermacam-macam. Selain itu bangsa Persi menyumbang cara berfikirnya, dan menganut agama islam, serta memakai bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan, maka terjadilah pertemuan antara kecerdasan otak Persia dengan kebijaksanaan peribadi Arab, yang kemudian melahirkan dasar berfikir cara baru dan pengertian-pengertian yang baru.”
Terdapat beberapa faktor membantu perkembangan intelektual. Antaranya kemajuan yang dicapai dan diasaskan oleh Khalifah abu Jaafar dan Harun al-Rasyid dan peranan keluarga Barmaki telah meninggalkan kesan yang baik untuk meneruskan dasar intelektual. Asas yang ini telah diteguhkan oleh Khalifah al-Maamun.
Sikap khalifah al-makmun sendiri yang menyukai ilmu pengetahuan kerana beliau adalah seorang intelek yang pintar dalam agama Islam, bahasa, sastera, astronomi dan mantik. Galakan juga diberikan kepada usaha-usaha penyelidikan menambahkan lagi kemajuan ilmu pengetahuan. Layanan istimewa diberikan kepada penyelidik dan golongan intelektual. Dasar liberalnya itu telah menggalakkan lagi perkembangan intelek.
Selain faktor peribadi al-Makmun yang cintakan ilmu pengetahuan, pengaruh pemikiran Mu’tazilah yang menitik beratkan soal akal dan pemikiran turut menjadi faktor utama pada penyebaran ilmu pada zaman al-Makmun. Mu’tazilah ialah satu kumpulan orang Islam yang disifatkan sebagai golongan rasional. Kumpulan ini sangat mementingkan ilmu pengetahuan dan turut melibatkan diri dalam bidang teologi. Kaum mu’tazilah juga mempunyai hujah dan dalil yang kuat terhadap kepentingan akal. Pemikiran Mu’tazilah mendapat sokongan daripada kerajaan Al-Makmun dan juga puak Syiah yang menyokong al-Makmun. Kaum Mu’tazilah juga mempunyai kepercayaan yang membawa implikasi terhadap masalah politik pada masa itu.
Ketika zaman khalifah al-makmun,beliau mengamalkan dasar liberal dan bertolak ansur dalam hal agama. Beliau cuba mengkompromosikan golongan utama antara ahli sunnah dan syiah. Sebagai langkah pertama dia telah mengadakan hubungan baik dengan golongan Syiah. Tindakannya melantik Ali bin ar-Redha sebagai putera mahkota telah ditentang dengan hebatnya dan sahanya gagal.
Al-Makmun telah menggunakan pemikiran muktazilah bagi menyatukan golongan ortodoks yang bermazhab Hambali dengan golongan Syiah. Dengan kata lain mazhab Mu’tazilah telah memberi ruang kepada manusia berfikir tentang agama tanpa sebarang halangan. Al-makmun sangat tertarik dengan pendapat muktazilah yang mengatakan bahawa, Al-Quran kalam Allah tetapi tidak bersifat Qadim seperti Tuhan dan seterusnya menjadikan mazhab Mu’tazilah sebagai mazhab rasmi negara.
Pembinaan Darul Hikmah yang diasaskan oleh Khalifah Harun al-Rasyid ini memberi sumber bacaan yang banyak. Di sini boleh didapati buku-buku dari Rom, Parsi, India dan Yunani.Pembinaan kilang kertas telah membolehkan kegiatan penulis berjalan dengan lebih lancar kerana ianya boleh diedarkan. Keamanan dan kestabilan politik negara membolehkan usaha pembangunan Negara dialihkan kepada perkembangan pembangunan.
Di samping menggalakkan penterjemahan untuk mendapatkan bahan rujukan , khalifah al- Makmun juga menggalakkan penulis dari golongan intektual menghasilkan karya mereka sendiri. Beliau memberi hadiah kepada penghasilan karya baru kepada sesiapa sahaja. Dasar liberal ini Berjaya menghasilkan karya-karya asli dalam pelbagai bidang. Al-Kindi berjaya menghasilkan karya-karya asli di bidang perubatan dan falsafah selain dari menterjemah.
Terdapat pengkhususan profesional dari perkembangan intelektual. Misalnya Yuhanna ibni Musawaih dan Hunain ibni Ishak merupakan ahli perubatan dan di bidang matematik dan astronomi pula, al-Asturlabi, al-khuwarizmi dan al-Battani merupakan ahli yang terkenal.

Kesan Dasar Khalifah Abbasiyah

Kekacauan yang ditimbulkan Muktazilah sangat menyedihkan terutama dalam masa pemerintahan Khalifah Makmun (813-833 M), yang menganggap wajib untuk membenarkan iktikad yang salah, yang merupakan pokok keyakinan agama, yang membawa syirik dalam kalangan manusia, seperti menganggap Quran itu qadim dan bukan makhluk. Mu’tazilah telah Berjaya memikat hati al-Maamun sehingga pada tahun 827M mazhab Mu’tazilah telah dijadikan mazhab rasmi Negara dan telah menghukum sesiapa yang menolaknya. Al-Makmun juga telah cuba menyusun undang-undang Islam dan beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa jawatan kerajaan hanya dipegang oleh penganut mazhab Muktazilah. Di samping itu, Tindakan ini merupakan satu penindasan bagi mazhab-mazhab lain terutamanya golongan ahli sunnah yang diketuai oleh Imam Hambali. Dipaksanya tujuh orang ulama hadis yang terkenal, iaitu Muhammad Sa’ad (meninggal 230 H), Abu Muslim Mustamli, Yazid Ibn Harun, Yahya bin Ma’in (meninggal 233H), Zahari bin Harb, Abu Khaisamah (meninggal 234 H), Ismail Ibn Daud dan Ismail bin Abi Mas’ud dan Ahmad bin Ad-Dauraqi, dalam sebuah surat perintah keoada Ishak bin Ibrahim, sebelum dia wafat pada tanggal 18 Rejab 218 H, untuk mengakui bahawa Quran itu makhluk bukan kalamullah yang qadim. Kerana ketakutan semuanya mengakui. Hanya Ahmad bin Hanbal yang tidak mahu mengakui kalamullah itu hadis baru, lalu dia dipukul dan selepas itu di bawa ke penjara. Ahmad bin Hambal telah ditangkap sewaktu al-Makmun sedang melakukan ekspedisi ke Tarsus menentang tentera Byzantine .
Perkembangan ilmu pengetahuan telah mempengaruhi perubahan mazhab agama. Banyak buku-buku agama telah ditulis oleh ulama-ulama muktazilah. Buku-buku ini telah dipengaruhi oleh falsafah menyebabkan mazhab muktazilah menjadi asas kepada dasar agama Khalifah al-Makmun. Ajaran agama ini mengajar manusia membebaskan diri misalnya Islam mempercayai Qada’ dan Qadar tetapi mazhab Muktazilah menganggap manusia itu bebas melakukan sesuatu. Mereka juga menganggap al-Quran itu adalah makhluk.
Selepas al-Makmun, diganti oleh Khalifah al-Muktasim dan tindakannya meneruskan dasar agama al-Makmun telah ditentang oleh rakyat. Ianya terlalu ekstrim. Rakyat di paksa menerima konsep/dasar agama muktazilah. Jika menentang mereka akan dikenakan hukuman. Rasa tidak puas hati golongan mazhab lain menyebabkan mereka melakukan pemberontakan. Di istana, kebebasan diberi untuk membincangkan mazhab muktazilah. Aliran teologi lain ditindas sehingga Imam Ahmad bin Hanbali dipenjarakan.
Sesudah meninggal khalifah Muktasim dalam tahun 227H, tujuh tahun selepas penganiayaan terhadap Ahmad bin Hanbal, pemerintahan Abbasiyah jatuh ke tangan khalifah al-Wasiq. Wasiq meneruskan politik Maamun, dan memaksa lagi ulama-ulama mengubah keyakinannya sesuai dengan faham Muktazilah.

Seorang alim dan pembesar, bernama Ahmad bin Nasr Al-Ghuza’i, di kala diperiksa oleh pihak kerajaan, tetap pendiriannya bahawa Quran itu qadim dan bahawa melihat tuhan pada hari kiamat, yang tidak diakui oleh Muktazilah, benar akan terjadi ia pun mendapat hukuman pancung kerana di anggap kafir. Pada kepalanya yang digantung  di samping jalan Wasiq menulis pada sepotong kertas : “Inilah kepala Ahmad bin Nasr, yang sudah didakwahkan oleh hamba Allah, Imam Harun Al-Wasiq kepada keinsafan bahawa quran itu makhluk dan kepada keinsafan untuk mentafsirkan sifat-sifat keserupaan pada tuhan tetapi ia enggan, maka Tuhan memasukkan ia ke dalam api neraka, dan kepala ini untuk menjadi peringatan bagi mereka yang memalingkan dirinya dari kiblat.” (Ibn Hajar, Tabaqat Syafi’iyah dan tarikh khalifah-khalifah Islam).
Kemudian Wasiq meninggal pada 232H. Khalifah mutawakkil menaiki takhta kerajaan. Khalifah al-mutawakkil telah mengubah mazhab rasmi Negara daripada mazhab mu’tazilah kepada mazhab sunni. Ia mengubah dasar negara yang sebelum ini dan pada tahun 234H, dia melarang menganggap Quran itu makhluk, serta larangan itu disiarkan seluruh daerahnya. Dia menerima pujian orang atas kebijaksanaannya, sehingga  ada yang mengatakan: “Hanya ada tiga khalifah, pertama Abu Bakar As-Siddiq yang membasmi golongan murtad, kedua Umar bin Abdul Aziz dalam membasmi kezaliman dan ketiga Mutawakkil dalam menghidupkan sunnah.” (Dhuhal Islam,III:182).
Setelah zaman ketika aliran muktazilah mendapat dukungan para khalifah abbasiyah, aliran ini sentiasa menjadi mazhab pemikiran yang aktif dan penting selama abad atau masa yang lain. Pemikir sistematis muktazilah yang terakhir adalah ‘Abd  Al- Jabbar (sekitar 936-1025M). Baru pada abad ke-11 M, ajaran mu’tazilah menjadi tekanan di Baghdad dan tempat lainnya, di bawah pengaruh khalifah Abbasiyah dan para penguasa Saljuk. Aliran ini terus memainkan peranan penting dalam pembentukan teologi Syi’ah dan diajarkan di sekolah-sekolah syiah. Namun di dunia Sunni, Muktazilah menjadi aliran pemikiran yang tenggelam hingga kebangkitan kembali minatnya pada masa moden.
Merosotnya aliran muktazilah sebahagian disebabkan oleh terus menguatnya ajaran tradisional Ibn Hanbal, khususnya di Baghdad dan Damascus, sedangkan sebahagian lagi oleh perkembangan garis pemikiran yang bermula dari Asy’ari. Yakni penjelasan dan pembelaan ajaran Al-Quran dan hadis dengan menggunakan perbahasan yang bersandarkan kepada prinsip logik.

***********************
 
NUR

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Site Meter