In The Name of Allah The Most Gracious The Most Merciful
Hakikat berada dalam dunia yang sentiasa dihimpit kesibukan kadang-kadang kita lupa menunaikan hak yang paling besar iaitu hak badan kita sendiri. Selalu berjaga pada lewat malam dan kadang-kadang langsung tidak tidur semalaman atau berhari-hari. Mari kita ambil sedikit ibrah dari hakikat tidur.
HAKIKAT MALAM
Allah berfirman dalam Surah Yaasin ayat 36-40 yang bermaksud:
[36]Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.
[37]Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah malam; Kami tanggalkan siang dari malam itu, maka dengan serta merta mereka berada dalam kegelapan,
[38] dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.
[39] Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.
[40] (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
Subhanallah. Jika di teliti dan difahami ayat di atas, betapa ianya membuatkan kita berfikir betapa indahnya aturan yang telah di tetapkan oleh Allah SWT buat kita. Saban hari ramai saintis yang memeluk agama Islam kerana mengagumi kebesaran Allah SWT melalui wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Mana mungkin Nabi yang lahir lebih 1400 tahun dahulu yang hidupnya dihabiskan di padang pasir yang tidak punya apa-apa kecanggihan teknologi untuk mengetahui segala fakta-fakta saintifik dengan sungguh tepat. Pasti ada “kuasa” di sana yang mengkhabarkan kepada baginda. Seharusnya kita umat Islam apabila membaca Al-Quran akan semakin bertambah keimanan kerana isinya tersurat bermacam-macam bukti keesaan dan keagungan Allah SWT. Ayuh muhasabah diri sendiri andai setiap hari kita membaca Al-Quran tapi tidak sedikit pun hati kita tersentuh dengan kalimah-kalimah Allah yang agung.
HAKIKAT TIDUR
PUSINGAN BIOLOGI
Sepanjang perjalanan hidup dan putaran bumi, berlalunya malam dan siang. Tidur,bangkit,bekerja dan tidur semula. Adakah selama ini perjalanan hidup kita diurus dengan baik ataupun mengikut sesedap rasa?
Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan ayat 47:
“Dan Dia yang menjadikan malam sebagai pakaian bagi kamu dan tidur sebagai istirehat dan dijadikan siang untuk bertebaran (mencari rezeki).”
Dalam kehidupan kita seharian, Allah s.w.t telah menentukan satu jadual khas untuk kita.Bila waktu tidur, belajar dan bekerja, semuanya telah ditentukan waktu yang terbaik untuk kita. Sunnatullah menjadikan waktu malam sebagai waktu istirehat, siang pula memerah tenaga. Disebaliknya ada hikmah yang terbentang untuk kita.
Mengapa kita mengantuk diwaktu malam?
Melalui kelenjar pineal, badan manusia menghasilkan sejenis hormon bernama melatonin. Bermula daripada 10 malam hingga jam 6 pagi. Hormon ini yang menyebabkan kita berasa mengantuk apabila ia meransang hipothalamus(bahagian otak).
Kadar melatonin yang optimum dalam darah pada jam 1.30 pagi hingga 2 pagi. Selepas itu kadarnya mulai menurun dan berada pada tahap paling rendah apabila bangun dari tidur pada jam 6 pagi.
Mengapa bekerja pada waktu siang?
Berbeza pada waktu malam dengan melatonin, pada waktu siang kehidupan kita dipengaruhi pula oleh hormon kortisol. Hormon ini banyak mempengaruhi fungsi jantung dan pernafasan kita. Meningkatkan efisiensi selari dengan penggunaan kita yang lebih aktif pada siang hari. Kortisol juga dikenali sebagai hormon stress kerana ia berada pada tahap yang tinggi apabila kita berada dalam tekanan.
Bilakah waktu yang efisien?
Berdasarkan pusingan biologi waktu yang efisien dan dapat melakukan kerja secara produktif adalah pada waktu 8 pagi hingga 1 tengah hari. Selepas waktu ini produktiviti akan mulai menurun kerana kita akan memasuki fasa yang dipanggil 'secondary sleep gate'.
Fasa 'secondary sleep gate' bermula pada waktu tengah hari hingga awal petang.
Maka disinilah kita dapat lihat sunnah Rasulullah yang popular dalam kalangan kita yang disebut sebagai qailullah atau dalam bahasa inggeris dipanggil 'napping'.
Antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur pada waktu tengah hari adalah Dr. William A. Anthony (Ph.D) dan Camille W. Anthony, pengarang buku The Art of Napping at Work. David F. Dinges dan Roger J. Broughton didalam buku mereka Sleep and Alertness: Chronobiologial, Behavioural and Medical Aspects of Napping juga bersetuju dengan pendapat ini.
Kajian menunjukkan tidur sebentar di tengah hari selama 30 minit mampu mengurangkan risiko menghadapi sakit jantung 30% lebih rendah berbanding mereka yang lain.Perkara ini disebutkan oleh David S. Sobel, M.D., dalam artikel Healthy Pleasures dalam Mind/Body Health Newsletter (Online), terbitan 1989.
Tidur Yang Cemerlang
Sabda Junjungan mulia Rasulullah s.a.w. "Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika cergas, dan ketika mengantuk pergilah tidur." Daripada Imam Bukhari dan Muslim.
Semasa tidur, sel-sel badan kita mengalami proses pemulihan. Allen Nicholson, penyelaras klinikal dari Pusat Gangguan Tidur, Hospital Columbus Community, Ohio, menjelaskan semasa tidur badan manusia menghasilkan hormon pertumbuhan (Growth Hormone) yang berfungsi membaiki sel-sel yang rosak.
Mengambil arak atau minuman yang mengandungi kafein sebelum tidur mengganggu proses ini dan menambahkan keletihan pada siang hari.
Penyimpanan maklumat jangka panjang atau long term memory juga berlaku semasa tidur. Mereka yang gemar tidur lewat akan mengganggu proses ini. Menurut Penolong Professor Carla B. Green dari Pusat Sains Kebangsaan untuk Pusingan Biologi, mengulang kaji hingga lewat malam akan menjejaskan pusingan biologi seseorang dan menjejaskan fungsi otak bagi mengingati semua maklumat yang dibaca.
Tidur yang mencukupi juga membantu memantapkan fungsi pertahanan tubuh badan. Individu yang kurang tidur lebih mudah dijangkiti kuman. Hal ini dilaporkan dari majalah Lancet pada bulan Oktober 1999.
Berapa Jam waktu Optimum Tidur?
Persatuan Barah Amerika melaporkan mereka yang tidur kurang daripada 8 jam setiap malam lebih sihat berbanding individu yang tidur melebihi 8 jam.
Hasil kajian selama 6 tahun yang melibatkan sejuta orang dewasa berumur antara 30 hingga 10 tahun ini menunjukkan, mereka yang tidur 6 hingga 7 jam secara purata hidup lebih lama berbanding mereka tidur melebihi 8 jam atau kurang daripada 4 jam setiap malam.
Penemuan ini disokong oleh Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika dan dimuatkan didalam Archives of General Psychiatry bertarikh 15 Februari 2002.
Rujukan:
[Utama] Tip-tip Cemerlang Daripada Quran oleh Dr. Danial Zainal Abidin M.B.Ch.B, Universiti Alexandria,cetakan kelapan 2008.
[Sampingan] Physiology First Year University Ain Shams, 2009.
AMALAN SEBELUM TIDUR
Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda:”Apabila seseorang kamu datang ke tempat tidurnya (hendak tidur), hendaklah dikipaskannya dengan hujung kainnya tiga kali dan hendaklah dibacanya:”Dengan nama Engkau Ya Tuhan, aku rebahkan rusukku (tidur) dan dengan nama Engkau aku angkat (bangun). Jika engkau ambil jiwaku, hendaklah Engkau ampuni dan jika Engkau lepaskan (kembalikan) hendaklah Engkau pelihara sebagaimana engkau memelihara hamba-hamba Engkau yang soleh.” (Muslim)
Huraian
Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadith yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan solat. Nabi pun terus mengeluarkan arahan: "Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk, hendaklah tidur" - (Bukhari-Muslim) Sesungguhnya tidur adalah suatu kematian yang sementara sedangkan hidup dan mati itu di tangan Allah. Tiada siapa yang tahu bila kita akan mati dan bagaimana kita akan menghadapi detik-detik apabila roh terlerai dari jasad. Bukan jarang kita mendengar orang yang mati ketika sedang tidur ! Oleh itu selaku orang Islam kita dituntut agar membaca doa sebelum melelapkan mata supaya terhindar daripada perkara yang tidak diingini iaitu mati dalam keadaan mengejut. Ingatlah bahawa menghisab amalan sebelum tidur akan menyedarkan kita tentang hari akhirat kelak. Ia menjadikan kita insaf agar tidak mensia-siakan usia dan masa yang diperuntukkan
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Let’s reorganize ourselves according to Sunnatullah .
With Love,
NUR
0 comments:
Post a Comment