Alhamdulillah akhirnya saya punya kesempatan untuk menulis lagi. Ketika post ini ditulis saya berada di atas bas menuju ke kampung halaman. 2 minggu yang sangat sibuk buat saya telah berlalu. Saya akan bercuti untuk seminggu. Walaupun bercuti banyak tugasan yang perlu disiapkan. Alhamdulillah walaupun agak sibuk sampai saya takde masa yang cukup untuk berehat dan akhirnya demam buat kali kedua selepas seminggu kebah tapi saya gagahi tapi kali ini betul-betul saya letakkan pergantungan pada Allah untuk melindungi saya. Banyak yang saya pelajari dalam tempoh ni walaupun tekanan yang menghimpit kadang membuatkan saya jatuh terduduk tapi akhirnya terus bangkit. Kekuatan tidak datang dari fizikal tapi ianya datang dari semangat tak pernah mengalah.
5 dan 6hb lepas saya bersama beberapa lagi ahli IPSI ke program Al-Kauthar menghadiri kursus yang bertajuk WORLD OF THE UNSEEN. Satu arah tujuan kita yang pasti selepas ini. Di manakah tempat akhir kita selepas mati? Adakah Allah akan merahmati kita dan memasukkan kita ke dalam syurgaNYA yang mengandungi nikmatNYA yang tak terhingga dan tak terbayang dek akal manusia yang sejengkal atau pun Allah akan mencampakkan kita ke dalam nerakaNYA yang panas menyala-nyala yang takkan mampu manusia untuk menanggung azab di dalamnya. Kursus ini memberi kesan yang sangat mendalam buat saya. Terasa hidup ini dipenuhi dengan dosa dan noda. Moga Allah mengampunkan dosa kita semua.
Post kali ni saya nak berkongsi sedikit ilmu yang saya dapat ketika AGM IPSI yang lepas. Dakwah itu banyak cabangnya. Ia merangkumi ekonomi, siasah, institusi kekeluargaan, sosial dan juga dakwah kepada non-muslim. Saya amat berminat dengan dakwah non-muslim ini. Alhamdulillah Allah bukakan jalan ini dengan membawa saya ke dalam IPSI. Tetapi dalam berdakwah dan berada di dalam organisasi, kita semua perlu mempelajari dan mengetahui adab-adab dalam berorganisasi. Kalau tidak pada awalnya bahtera dakwah ini meluncur laju dan terus laju mungkin akhirnya akan semakin perlahan kerana terdapat kebocoran pada bahtera tersebut dan moga-moga ianya tidak karam dan tenggelam. Sekiranya sesuatu bahtera dakwah itu karam, pasti syaitanlah yang paling gembira melihat kita kerana dia mampu memecah belahkan penghuni bahtera tersebut sehingga akhirnya karam.
Dalam peristiwa Hijrah nabi ketika sampai di Madinah, nabi menjalankan 3 projek besar. Ia memberi panduan dan pengajaran kepada kita untuk diaplikasikan dalam sesebuah organisasi agar organisasi kita mampu belayar dan mengharungi segala badai di lautan.
1. Membina masjid nabawi
Ibadah dalam Islam berperanan membersihkan jiwa, menyucikan akhlak dan menguatkan ikatan tolong menolong sesama orang Islam. Masjid pula membawa mesej kemasyarakatan dan kerohanian yang agung dalam kedudukan umat Islam dan berperanan menyatukan saf-saf, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah serta mempamerkan kekukuhan dan kekuatan Umat Islam. Ia merupakan satu significant yang menunjukkan ahli-ahli perlu mementingkan ibadah dalam kehidupan mereka. Bagi memastikan keberkesanan dakwah, hubungan kita Allah perlu di jaga kerana Allahlah yang memberikan hidayah kepada mereka yang kita dakwahkan.
2. Menegakkan piagam madinah
Prinsip-prinsip yang ada di dalam piagam tersebut merupakan dasar asas kepada negara Islam yang pertama. Di dalamnya dinyatakan prinsip kemanusiaan, keadilan sosial, toleransi agama dan kerjasama demi kemaslahatan masyarakat. Setiap golongan sama ada majoriti atau minoriti diberikan hak masing-masing tanpa sebarang diskriminasi. Tapi setiap hak yang diberikan harus datang bersama tanggungjawab. Apa yang saya nak tekankan adalah tanggungjwab kita kepada bukan Islam. Allah berfirman dalam surah al-mumtahanah ayat 8 yang berbunyi:
"Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik
dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada
memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir
kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai
orang-orang yang berlaku adil."
Kebanyakan non-muslim sangat takut ketika kita menyatakan hendak melaksanakan hukum Islam kerana mereka kehilangan hak dan kebebasan dalam mengamalkan agama dan budaya mereka. Semua ni berlaku kerana mereka tidak tahu hak-hak mereka di bawah pemerintahan Islam. Jadi seharusnya kita umat Islam bersikap adil kepada mereka. Sesama umat Islam pun kita harus bersikap adil dan menunaikan hak satu sama lain. Jika hak semua pihak ditunaikan dengan adil dan saksama, insyaallah aman damailah hidup kita.
3. Mempersaudarakan muhajirin dan ansor
Rasulullah mempersaudarakan di antara Muhajirin dan Ansor. Baginda menjadikan untuk setiap ansor seorang saudara daripada muhajirin. Kadang kita tertanya-tanya kenapa Rasul mempersaudarakan mereka sedangkan dua-dua golongan ini merupakan sahabat nabi sepatutnya tiada masalah hidup bersama walaupun tak dipersaudarakan. Tapi manusia punya nafsu kerana Allah qadarkan manusia begitu tak seperti malaikat yang sentiasa tunduk dan taat kepada Allah sepanjang masa. Tapi kompas manusia berbeza. Kita mampu jadi malaikat yang patuh pada Allah ataupun syaitan yang derhaka pada Allah. Allah memberikan kudrat yang terhad kepada kita namun masih mampu membuat pilihan jalan mana yang kita ingin pilih. Jalan malaikat atau jalan syaitan.
Nabi mempersaudarakan muhajirin dan ansar kerana ukhwah sangat penting. Kalau tak bersatu, bahtera yang dilayari mungkin akan tenggelam akhirnya. Umat Islam mudah diperkotak0katikkan pada zaman ini kerana kita tidak bersatu. Jika dilihat dari jumlah angka, lebih kurang 1.5 billion Muslim di dunia. kita bukan sedikit tapi mengapa sangat mudah ditindas? Kerana kita tidak bersatu. Begitu jugalah dalam sesebuah organisasi. Kesatuan sangat penting. Sekiranya kita sesama Islam pun bergaduh saling dengki-mendengki, akhirnya umat Islam yang kerugian. Wallahualam.
0 comments:
Post a Comment