Pada zaman dulu, 3 orang pemuda dalam satu perjalanan berehat di dalam sebuah gua untuk berteduh dari hujan lebat. Tiba-tiba pintu gua tertutup oleh satu batu yang besar. Mereka cuba menolak batu itu tetapi tidak berjaya.
Mereka berusaha pelbagai cara untuk keluar tapi kesemuanya gagal. Akhirnya tiada jalan lain kecuali bermohon dan mengadu kepada Allah. Mereka tahu hanya Allah yang dapat melepaskan mereka. Keputusan diambil supaya tiap-tiap orang mengadu atau bertawassul dengan amal kebajikan yang mereka buat.
Pemuda pertama berdoa: "Ya Allah, saya pernah berbuat amal soleh terhadap kedua ibubapa saya. Suatu hari saya balik dari kerja dan berasa tersangat lapar. Saya sangka ibu saya sudah masak nasi tapi rupanya belum kerana kehabisan beras. Saya terus keluar untuk beli beras. Apabila pulang, saya lihat ibu saya tertidur. Saya tidak berani mengejutkannya walaupun saya tersangat lapar sehinggalah dia tersedar sendiri. Ya Allah, jika ini merupakan amal kebajikan yang ikhlas terhadap ibuku dan mendapat keredhaanMu, tolonglah kami untuk keluar dari sini."
Tiba-tiba pintu itu terbuka sedikit dengan kurnia Allah, namun mereka masih belum boleh keluar.
Giliran pemuda kedua berdoa: "Ya Allah, saya juga mempunyai amal soleh. Saya mempunyai gedung perusahaan dan mempunyai ramai pekerja. Setiap pekerja dibayar gaji tepat pada waktunya. Pada satu ketika seorang pekerja tidak datang mengambil gaji bulanannya sehingga beberapa bulan. Wang gajinya saya gunakan untuk membeli barang-barang perniagaan sehingga saya untung 10 kali ganda wang asalnya. Beberapa bulan kemudian, pekerja itu datang kembali lalu saya serahkan kesemua hartanya termasuk keuntungan yang saya niagakan. Ya Allah, sekiranya ini merupakan amal yang mendapat keredhaanMu, tolonglah kami dalam kesusahan ini!"
Sebaik saja habis merayu, tiba-tiba pintu itu bergerak sedikit tetapi masih belum boleh keluar.
Akhirnya sampai giliran pemuda ketiga: "Ya Allah, aku sebenarnya tidak mempunyai suatu amalan yang dianggap penting. Sepanjang ingatanku, hanya sekali aku berbuat baik kerana malu kepada Engkau ya Allah. Aku ditugaskan membahagi-bahagikan makanan kepada orang-orang miskin. Semasa bekerja aku terlihat seorang gadis cantik yang juga meminta bahagiannya. Setelah semua orang pulang, aku pun memanggil gadis itu dan menyatakan niat jahatku kepadanya. Gadis itu menangis seraya berkata dia rela mati kelaparan daripada melakukan dosa perbuatan terkutuk itu. Aku menjadi serba salah dan datang penyesalan yang tidak terhingga. Aku malu dan insaf atas kesalahanku. Ya Allah, sekiranya penyesalan dan taubat ini Kau terima, tolonglah kami dari kesusahan ini."
Tiba-tiba pintu gua itu terbuka luas dan mereka pun keluar dengan selamat.
***************************************************
Cerita di atas ada pelbagai versi. Saya memilih versi cerita di atas kerana ia agak ringkas dan mudah difahami. Tapi pengajaran dari setiap versi tetap sama.
2 minggu lepas saya dan keluarga sempat ke Perak untuk menziarahi makcik yang baru selesai menjalani pembedahan kerana menghidap kanser. Umi saya menceritakan kepada makcik yang seorang ustaz pernah bercerita tentang kaedah berubat dengan bersedekah. Apa yang boleh saya simpulkan dari cerita di atas dengan kaedah berubat dengan sedekah ini ialah, apabila kita melakukan kebaikan kepada orang yang susah dan juga jika kita berusaha sedaya upaya untuk menunaikan kehendakNya, Allah pasti tak akan mensia-siakan usaha hambaNya. Sebagaimana hadis nabi,
Segala amal yang kita lakukan pastinya hanyalah sedikit jika nak di bandingkn dengan segala nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada kita. Tetapi dengan kasih sayangNya, Dia tak pernah mensia-siakan amalan hambaNya walau sebesar zarah. Apabila kita berada dalam kesusahan, mintalah padaNya dengan doa dan juga amal soleh yang di sukaiNya.
Saya baru selesai membaca novel Trajedi Cinta Taj Mahal. Novel pembangun jiwa ni pernah dicadangkan untuk dibaca oleh Ustz Zahazan ketika saya mengikuti rancangan Halaqah di tv9. Penulisnya membawa watak yang ditulisnya sebagai seorang yang kaya tetapi dermawn. Setiap kali ada perkara yang diharapkan olehnya, pasti disusuli dengan solat hajat dan juga bersedekah. Dan Alhamdulillah Allah mengabulkan setiap hajatnya.
Saya juga ingin berkongsi tentang kaedah yang sama tetapi saya lakukan ketika menghadapi musim peperiksaan. Sebelum ke dewan peperiksaan, atas nasihat seorang sahabat, saya solat sunat dhuha 2 rakaat dan sesudah solat, saya berdoa kepada Allah, "Ya Allah, Aku telah berusaha semampuku dan sekarang aku serahkan segalanya kepadaMU. Ya Allah, sekiranya apa yang aku lakukan untuk membantu agamaMu ini aku ikhlas dan Engkau suka dengan apa yang aku lakukan, permudahkanlah aku untuk menjawab exam aku sebentar lagi. Aku pasrah atas segala ketentuanMU."
Saya yakin dengan janji Allah dalam surah Muhammad ayat 7,
Segala yang mustahil bagi kita tidak mustahil bagiNya. Jika berhajat kepada sesuatu, berserahlah kepadaNya, buatlah "pertukaran" dengan Allah atas amal yang kita lakukan dengan ikhlas selepas kita berikhtiar. Bukan riak dengan amal yang dilakukan tapi yakinlah Allah takkan mensia-siakan hambaNya.
Semoga Allah merahmati kita semua.
0 comments:
Post a Comment